ADSENSE

Ahad, 19 November 2017

Ikan Merah Kukus Asam Boi

Selamat berhujung minggu buat semua.
Apa agaknya hidangan  tengahari untuk keluarga tersayang pada hari ini? Jom cuba resipi Ikan Merah Kukus Asam Boi pula. (Minta maaf, tertulis 'siakap' dalam water mark). Sudah tentu mampu menggoda selera seisi keluarga, apalagi kalau dihidangkan panas di atas meja.

Selain ikan siakap, boleh gunakan ikan merah, ikan bawal, ikan putih, atau ikan kerapu, atau juga ikan-ikan lain yang sesuai untuk dikukus.

Kalau tidak ada asam boi merah, boleh gunakan asam boi putih. Nak gunakan kedua-duanya sekali pun boleh. Amie pernah masak ikan siakap kukus asam boi sebelum ini ikut resipi HANAMEMORIES di sini : Ikan Siakap Kukus Asam Boi.
Kali ini Amie cuba resipi versi sendiri pula.
 
Bahan-bahan:
1 ekor ikan merah / siakap / kerapu
1 labu bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 tangkai cili merah - hiris
7 biji asam boi merah / putih - rendam dalam 1/2 cawan air hingga kembang, kemudian kikis sedikit
2 cm halia - hiris halus
1/2 batang lobak merah - hiris halus
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil tepung jagung - bancuh dengan 1/2 cawan air

Cara memasak:
1. Bersihkan ikan dan kelar-kelas sedikit.
2. Didihkan air dalam periuk pengukus.
3. Letakkan ikan di atas dulang pengukus. Taburkan halia, bawang besar, bawang putih dan lobak merah di atasnya dan kukus selama 3 minit.
4. Satukan cili merah, asam boi, sos ikan, sos tiram, kicap manis dan air bancuhan tepung jagung di dalam periuk.
5. Masak sehingga mendidih dan kuah mulai sedikit pekat.
6. Buka penutup periuk pengukus dan keluarkan dulang ikan. Buang air ikan yang dikukus.
7. Kemudian tuangkan bahan yang dimasak tadi di atas ikan.
8. Letakkan kembali dulang ikan di dalam periuk dan kukus lagi selama 7 minit atau sehingga ikan masak. 
9. Angkat dan hidangkan bersama taburan daun ketumbar.

Resipi Ikan Kukus Asam Boi ini pernah tersiar dalam Majalah Saji Edisi Ogos 2017. Boleh klik gambar di bawah atau di sini : Resepi Amie's Little Kitchen Di Majalah SAJI Edisi Ogos 2017 

 

 

Jumaat, 17 November 2017

Gulai Ayam Hijau

Selamat petang semua.
Semoga semuanya sihat dan ceria-ceria hendaknya.
Apa agaknya hidangan makan malam anda? Seperti biasa, makan malam kami sudah semestinya sebelum menjelang Maghrib, atau dengan kata lain sekitar pukul 5 petang kami sudah makan malam (kononnya waktu begini untuk minum petang!). Tradisi ayah bonda kami, memang makan malam kami diawalkan, supaya selepas Maghrib kami dapat mengaji al-Quran dengan ayahanda, dan seterusnya selepas solat Isya' boleh mengulangkaji pelajaran, atau terus tidur! Itu cerita dulu, barangkali disebabkan tiada kemudahan elektrik (gunakan lampu gasolin), dan tiada siaran televisyen yang pelbagai seperti sekarang ini, jadi segalanya dilakukan lebih awal, dan bangun paginya pun memang 'awal' juga!

Petang tadi Amie sempat masak Gulai Ayam Hijau. Nampaknya Bumbu Masak Khas Minang belum habis lagi. Kali ini Amie cuba masak gulai hijau pula.  Seperti biasa, tidaklah susah untuk mengolahnya kerana bumbu sudah sedia.

Selain bumbu hijau sedia ada, 2 bahan lain yang perlu Amie sediakan termasuklah 150 gram lada hijau dan 3 gelas santan sebagaimana yang disarankan di belakang paket pes tersebut. Bagaimana pun Amie sesuaikan rasanya dengan menambah sedikit gula memandangkan pes tersebut agak terasa garam dan asamnya.



Walaupun hanya disarankan 1/2 kg bahan, tapi Amie gunakan 1 kg daging ayam. Kuahnya pun banyak!

 Inilah rupa Bumbu Masak Khas Minang untuk Gulai Ayam Hijau.

Amie lihat dalam banyak resipi masakan Minang / Padang, masakan gulai ayam hijau ini ada dua versi. Ada yang bubuh santan dan ada yang tidak. Boleh ditambah bahan lain dalam masakan seperti petai, kentang, nangka muda dan sebagainya.

Untuk rujukan akan datang, Amie tempelkan di sini resipi dari 3 kuliner negara asal iaitu : 1. AYAM SANTAN CABE IJO,
2. GULAI AYAM HIJAU dan rakaman dalam you tube : 3. AYAM GULAI CABE HIJAU Khas Padang.
 

Khamis, 16 November 2017

Singgang Ikan Susu

Hari ini masak campak-campak saja apa yang ada. Hasil campak-campak dapatlah dihidangan Singgang Ikan Susu dengan nasi panas! Nasi pun bertambah! Bahaya sungguh resipi singgang! Campak dan rebus, tapi setanding enaknya dengan lauk-pauk lain! Masaklah ikan apa pun, ikan kembung ke, ikan pari ke, ikan terubuk ke, ikan tongkol ke, ikan tuna ke....hiks!
Ada yang masak singgang terus jerang air dalam periuk,ada juga yang tumis dulu bahan perencahnya supaya lebih harum aromanya. Amie ikut yang kedua, tumis dulu.

Bahan-bahan:
1 ekor ikan susu seberat 1 kg - bersihkan dan potong 5 bahagian
2 biji tomato hijau - belah 6
2 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
2 keping asam gelugur
5 helai daun limau purut - buang urat belakangnya 
10 biji cili padi merah
1 sudu kecil serbuk kunyit
3 sudu besar minyak
900 ml air
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar 
3 biji cili hijau - potong-potong 

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris bersama lengkuas dan serai hingga wangi.
2. Tambahkan air dan biarkan mendidih.
3. Masukkan ikan, asam gelugur, daun limau purut, serbuk kunyit, cili padi merah dan cili hijau.
4. Setelah ikan masak, masukkan tomato, garam / gul;a / perasa pilihan.
5. Biarkan mendidih seketika, dan padamkan api dapur.

 Kalau nak rasa pedas, picitkan saja cili padi merah itu ketika sedang makan dengan nasi panas!

Rabu, 15 November 2017

Sotong Goreng Bawang Putih ( Pla Muerk Tod Kratiem )

Salam sayang buat semua pengikut dan pengunjung Amie's Little Kitchen yang dhargai. Terima kasih kepada follower baru yang sudi menambahmeriahkan dapur maya ini. 
Hari ini Amie kongsikan resipi yang pada perasaan Amie begitu istimewa dan lazat sekali. Istimewanya kerana tidak banyak bahan yang digunakan, dan memang tidak rugi mencubanya walaupun pada mulanya setelah melihat antara bahan yang digunakan ada yang rasa keliru! Ya, penggunaan 3 labu bawang putih, dan bukannya tiga ulas! Dalam selabu bawang putih sudah tentunya banyak ulas! Untuk resipi ini mari kita  gunakan penjodoh bilangan labu yang membawa maksud banyak ulasnya!
Untuk melihat resipi Amie yang dulu, boleh klik di sini : Pla Muerk Tod Kratiem - Sotong Goreng Bawang Putih. Resipi Sotong Goreng Bawang Putih kali ini, Amie ubahsuai dari resipi asal dengan penambahan daun kari serta cili padi.


Bahan-bahan:
500 gram sotong - potong ikut suka
3 labu bawang putih  - buang kulit dan cincang
10 ulas cili padi  - hiris
1 tangkai daun kari - lurutkan daunnya
1 sudu kecil serbuk lada putih
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil gula
minyak

Cara:
1. Goreng sotong hingga garing. Angkat dan toskan.
2. Ambil 4 sudu besar minyak bekas gorengan sotong tadi dan goreng bawang putih sehingga kuning keemasan. Angkat dan toskan.
3. Panaskan semula minyak bekas gorengan bawang putih tadi dengan menggunakan api besar. Goreng daun kari hingga layu.
4. Masukkan sotong goreng dan bawang putih goreng dengan serentak.
5. Tambahkan lada putih, sos tiram, dan gula. Kacau sebati dan masak selama 1 minit.
6. Taburkan hirisan cili padi dan kacau sekali dua.
7. Angkat dan hidangkan.

 Tak rugi mencuba, tapi rugi kalau tak mencuba!

Selasa, 14 November 2017

Pecak Jantung Pisang

Resipi Pecak Jantung Pisang ini pernah tersiar dalam Majalah SAJI Edisi Februari 2017 DI SINI. Bonda yang kongsikan resipi ini ketika Amie berbual-bual melalui telefon dengannya pada suatu petang lama dulu.
Untuk paparan resepi pada hari ini, Amie kongsikan resipi kegemaran Bonda dan kami sekeluarga (di Malaya).

Salah satu bahan wajib dalam penyediaan resipi pecak ini sudah semestinya isi dan daun cekur @ kencur! Tanpa herba tersebut, memang tidak akan timbul aroma 'pecak' yang sememangnya turut mengundang selera untuk menikmatinya!

Selain itu, bahan yang perlu diambil kira selain kencur ialah cili padi berwarna hijau! Santannya pula hendaklah diperah menggunakan air masak, tidak terlalu pekat dan tidak cair! Aromanya tambah semerbak dengan campuran bawang putih dan bawang merah bakar!

Jom kita lihat resepinya seperti di bawah ini:

Bahan-bahan:
1 biji jantung pisang
2 cawan santan pekat - gunakan air masak sewaktu memerah santan
3 helai daun kencur - hiris halus
2 sudu besar jus limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan tumbuk:
20 tangkai cili padi hijau
4 biji isi kencur
2 ulas bawang putih - bakar
5 biji bawang merah - bakar

Cara memasak:
1. Kupas kulit jantung pisang sehingga kelihatan warnanya yang putih kuning. Belah empat dan rebus hingga empuk. Angkat dan toskan airnya.
2. Dalam sebuah bekas, campurkan santan pekat bersama bahan tumbuk, garam, gula atau perasa pilihan, jus limau kasturi dan hirisan daun kencur.
3. Letakkan jantung pisang di atas pinggan, dan kemudian siramkan kuah pecak di atasnya.

Air tangan sendiri memang tidak dapat menyamai kelazatan air tangan ibu, akan tetapi dengan hasil air tangan sendiri inilah akan wujudnya resipi warisan untuk anak cucu dan generasi akan datang. Selamat mencuba!